Akhirnya, Bagaimana Ilmu Shariah Dapat Menyelamatkan Duit Tuan Dari Dirompak Skim Cepat Lingkup

Oleh Pakdi.net

Salah satu bentuk riba adalah terlibat dalam permainan duit.

Money game‘ atau bila dah tersontot, duit dah lesap, baru nak sedar benda tu scam.

Oh, penganjur skim ini menggunakan istilah-istilah ‘pelaburan’ atau ‘beranakkan duit’ atau ‘gandakan duit’ dan pelbagai istilah lagi yang dapat menaikkan nafsu ketamakan dalam diri.

Takkan nak sebut skim riba pula, banker sahaja yang mengaku secara terus terang dia tawarkan riba.

Perbezaan Riba dan Jual Beli Itu Jelas

Al-Quran telah jelas memberitahu ada perbezaan antara jual beli dan riba.

Malangnya, mereka yang tidak mempunyai ilmu fiqh muamalat secukupnya dengan mudah menyatakan riba itu sama dengan jual beli.

Asalkan dapat duit sahaja, itu namanya buat bisnes. Lantaklah macam mana duit tu diperoleh, asalkan duit. Untung. Dapat tebalkan dompet. Dapat penuhkan akaun bank.

Sedangkan jika kita ambil sedikit masa untuk memahami apa itu riba, pasti kita tidak dapat ditipu dengan tawaran-tawaran skim untung tiap bulan walaupun yang datang mempromosikan kepada kita membawa imej ustaz, ustazah, haji dan hajah.

Kontrak Yang Tidak Jelas

Kebiasaannya peluang lebur duit sebegini tidak mempunyai kontrak yang jelas. Samar-samar.

Nampak macam legitimate business. Tapi …

+ Apa yang dibeli ?
+ Apa yang dijual ?
+ Bagaimana boleh dapat untung setiap bulan ?

Barang jualan hanyalah tipu daya semata-mata. Ia dapat jadi emas, perak, susu kambing, roti, madu dan apa-apa sahaja. Tarikan utama adalah % return yang dijanjikan, bukan untuk memiliki barang jualan itu sendiri.

Apabila kontraknya samar-samar, maka kita kena tengok sifat dan kesan-kesan individu-individu yang berkontrak dalam transaksi tersebut untuk mengenal pasti kontrak yang sebenar.

1) Ujian Mudah: Kalau Rugi Bagaimana ?

Al-ghurm bil ghunm.

Jika ia adalah pelaburan atau peluang bisnes yang tulen, maka prinsipnya adalah, “Keuntungan datang bersama risiko,”

101% individu yang memasuki program buat duit sebegini tidak mahu hilang duit. Sebab itu selagi mana dapat duit, masih dapat bayar bulanan, individu ini yakin dan percaya program tersebut bagus dan tidak menipu.

Namun apabila pembayaran tidak berlaku. Apakah respon individu sebegini?

+ Aku nak duit aku balik! Kalau tak aku report polis!
+ Penipu! Aku nak duit aku balik.
+ Bagi ajelah apa-apa yang ada. Janji aku dapat duit balik.

Oleh kerana kontrak samar-samar, apa yang penting setiap bulan dapat duit, melalui ujian ini, kita dapat simpulkan apa yang berlaku sebenarnya adalah kontrak pinjam (qard), dan bukan kontrak jual beli (bai’) atau pelaburan (istithmar).

Sebab hanya orang bagi pinjam sahaja yang mahu duit pokoknya dijamin selamat.

2) Label ‘Arab’ Jadi Topeng Tunjuk Halal

Penganjur skim ini, bagi menarik minat orang Islam, menggunakan istilah-istilah berbahasa Arab.

Sedangkan orang Arab pun ada terlibat riba.

Tapi sebab kebanyakan orang Melayu-Islam ini tidak pandai membezakan antara Arab dan Islam, maka semua yang berbunyi Arab mesti Islamik dan apa yang Islamik mesti berbunyi Arab.

Wakalah. Mudharabah. Ijarah. Hibah. Rahnu. Wadiah. Dan lain-lain.

Pusing punya pusing punya pusing…

Apa yang dikontrakkan tidak menepati pun rukun dan syarat kontrak-kontrak yang disebutkan itu.

Akhirnya kembali menjadi kontrak pinjaman.

Pinjaman Yang Ada Manfaat Adalah Riba

Individu yang beri pinjam sahaja yang mahu duitnya balik. Paling kurang duit pokok.

Individu yang melabur dan buat bisnes, faham rugi pasti berlaku. Kalau ditakdirkan bisnes rugi, terima dengan hati terbuka.

Apabila hakikat yang berlaku dalam money game adalah kontrak pinjaman, Nabi saw sebut:

  • “Setiap pinjaman yang beri untung / manfaat, ia adalah riba.”

Dalam ucapan hari ini, ia bersamaan dengan…

  • Dengan modal RM 10,000 untuk program ni, aku dapat RM 1,000 sebulan kan?”

Tersenyumlah keduanya.

Sedangkan mereka tidak sedar perbuatan ini mengundang kemurkaan Allah dan RasulNya.

Jadi, mahukah tuan menjalankan kempen boikot riba sebegini bersama-sama Allah dan RasulNya ?

@Pakdi.net – http://www.pakdi.net/akhirnya-bagaimana-ilmu-shariah-dapat-menyelamatkan-duit-tuan-dari-dirompak-skim-cepat-lingkup/